Wednesday, 11 November 2015

Usah tangguh lagi, pungut amalan untuk negeri akhirat



"Nak, bangun solat Subuh," kata si ibu.

Si anak membalas, "sekejap lagi lah," sambil menarik selimut meneruskan lena.

Kesudahannya, Subuh gagal dilaksanakan akibat terlajak tidur.

'Sekejap' yang dinyatakan itu sebenarnya tindakan untuk menangguhkan sesuatu perbuatan. 'Nantilah', 'kemudianlah', 'esok-esoklah' dan banyak lagi kata-kata yang sering diungkapkan oleh orang yang suka bertangguh.


Daripada Ibn Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w memegang dua bahuku seraya bersabda :

(Maksudnya) "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir." Dan adalah Ibn Umar r.a. berkata, "Apabila kamu berada pada waktu petang maka janganlah kamu tunggu waktu pagi, dan apabila kamu berada pada waktu pagi maka janganlah kamu tunggu petang. Ambillah daripada kesihatanmu untuk sakitmu dan daripada kehidupanmu untuk matimu."

Hadis sahih ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6053.

Perbuatan bertangguh-tangguh dan melengah-lengah ini ternyata sesuatu perkara yang merugikan. Ungkapan 'lima perkara sebelum lima perkara' sudah sebati di dalam masyarakat kita sehingga dijadikan dalam bentuk lagu oleh sebuah kumpulan nasyid Raihan berjudul 'Demi Masa'.

Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Namun bagaimana ia mampu dijadikan sebagai amalan seharian kita sebagai muslim?

Akibat suka bertangguh ini juga kita ketinggalan dalam banyak perkara. Contohnya, melayari laman sosial dengan lalai sehingga mengabaikan ibadah.

Bercakap lebih jauh, misalnya di bidang ekonomi pula, kita masih keterbelakang berbanding masyarakat lain. Masa kita banyak dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak membawa manfaat.

Budaya cantas-mencantas kerana dirasuk syaitan dengan sifat hasad dengki manakala bergaduh sesama menjadi amalan biasa berikutan hilangnya penyatuan ummah.

Tidak dinafikan, masih ada dikalangan masyarakat kita yang melihat masa sebagai pedang. Pedang (masa) akan memotong sekiranya kita tidak memotongnya. Terlalu banyak amalan kebaikan dapat kita laksanakan sekiranya sikap bertangguh dan membuang masa dapat dibuat.

Jangan nanti berasa menyesal... Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Fajr : 24 bermaksud :

"Ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (disini)!"

Mufassir berkata bahawa alangkah bahagianya jika telah membuat persediaan dengan amalan yang soleh untuk kehidupan di negeri akhirat. Ini kerana hidup di negeri akhirat inilah merupakan hidup hakiki yang wajar dengan nama hidup, yang wajar dibuat persediaan dan bekalan untuk menghadapinya.

No comments:

Post a Comment