Wednesday, 30 December 2015

Bengkel Imam Anjuran YPPM Terima Reaksi Positif Ibu Bapa



Bengkel Imam – Malahirkan Qurratu’ Ain Ibu Bapa anjuran bersama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan pihak Masjid Negara dapat reaksi positif daripada ibu bapa peserta yang hadir.

Mereka berharap agar bengkel seperti ini dapat diteruskan bagi mengisi masa anak-anak mereka sekaligus dapat memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai kepentingan mempelajari ilmu fardu kifayah.

Mohd.Razali Harun,bapa kepada Abdul Hafiz,10, berkata, bengkel yang dianjurkan YPPM ini merupakan satu insiatif bagi memberi pengetahuan dalam usaha melahirkan golongan imam pada masa akan datang.


“Bengkel imam ini satu inisiatif yang bagus sebagai permulaan bagi anak-anak untuk menjadi seorang imam sekaligus mendidik mereka dari sudut sahsiah diri islamik yang menurut perintah Allah SWT.

“Bengkel seperti ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya enam bulan sekali dalam usaha mendidik golongan muda menjadi anak yang soleh,” katanya yang turut hadir melihat sendiri pengisian bengkel tersebut.

Tambah Mohd. Razali, anaknya merupakan seorang pelajar yang aktif dalam program tilawah al-quran di sekolah dan berhajat untuk memberi pendedahan kepada anaknya dalam pembelajaran yang lain pula.


Sementara itu, Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, bengkel yang dianjurkan ini diharap dapat memupuk para peserta untuk menjadi seorang imam bukan sahaja di dalam mengerjakan solat, bahkan mampu menjadi pemimpin dalam keluarga.

Menurut Mashitah lagi, program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kepentingan mempelajari fardu kifayah.

“InsyaAllah, pada bengkel akan datang pihak YPPM berhajat untuk melaksanakan bengkel penyembelihan dan memandikan jenazah.Oleh itu,saya berharap, para peserta yang hadir pada bengkel kali ini dapat meluangkan masa untuk menyertai bengkel pada masa yang akan diberitahu kelak,” katanya.

Kira-kira 80 orang peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun menyertai Bengkel Imam – Malahirkan Qurratu’ Ain Ibu Bapa anjuran bersama YPPM dengan pihak Masjid Negara pada 23 Disember lepas.

No comments:

Post a Comment