Tuesday, 29 December 2015

Bengkel Imam Jadi Tarikan Golongan Remaja



KUALA LUMPUR - Kira-kira 80 orang peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun menyertai Bengkel Imam - Malahirkan Qurratu' Ain Ibu Bapa anjuran bersama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan pihak Masjid Negara sebagai pendedahan untuk menjadi seorang pemimpin pada masa akan datang.

Bengkel itu diadakan sebagai satu inisiatif untuk memberi pengetahuan dalam usaha melahirkan golongan imam pada masa akan datang, cabaran selain pendedahan kepada para peserta.

Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, bengkel yang dianjurkan ini diharap dapat memupuk para peserta untuk menjadi seorang imam bukan sahaja di dalam mengerjakan solat, bahkan mampu menjadi pemimpin dalam keluarga.


"Bengkel seperti ini amat penting kerana ia merupakan fardu kifayah dan akan menyenangkan para peserta yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti mahupun ke luar negara.

"Selain itu,sebagai seorang anak lelaki, biarlah kita menjadi insan yang terakhir menghantar ibu dan ayah ke liang lahad jika mereka meninggal satu hari nanti, " kata Mashitah.


Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Imam - Malahirkan Qurratu' Ain Ibu Bapa anjuran bersama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan pihak Masjid Negara pada 23 Disember lalu.

Turut hadir, Pengarah Operasi YPPM,Juhaidi Yean Abdullah dan Imam Masjid Negara, Ustaz Mahadi Dahlan.

Menurut Mashitah lagi, program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kepentingan mempelajari fardu kifayah.

"InsyaAllah, pada bengkel akan datang pihak YPPM berhajat untuk melaksanakan bengkel penyembelihan dan memandikan jenazah.Oleh itu,saya berharap, para peserta yang hadir pada bengkel kali ini dapat meluangkan masa untuk menyertai bengkel pada masa yang akan diberitahu kelak," katanya.


Bengkel sehari itu dimulakan dengan solat dhuha secara berjemaah oleh para peserta, diikuti slot solat yang meliputi kursus mengenai ciri-ciri imam, bacaan doa dalam solat, penyampaian khutbah dan melaungkan azan dan iqamah.

Pada sebelah petang, para peserta didedahkan dengan sesi praktikal dalam kumpulan termasuklah amali mengambil wuduk, solat, khutbah, azan serta iqamah.

No comments:

Post a Comment