Thursday, 17 December 2015

Jangan Salahkan Semua Muslim Kerana Sekumpulan Pengganas



“Jangan salahkan seluruh populasi Muslim hanya kerana tindakan sekumpulan pengganas yang mengaku mereka Islam.”

Demikian kata-kata terbaharu aktivis hak asasi manusia kanak-kanak, Malala Yousafzai melalui temu bual bersama Jon Snow di Channel 4 News yang disiarkan pada 14 November lalu.

Menurut Malala, semangat kebencian yang disebarkan secara meluas pada hari ini hanya akan mencipta lebih banyak pengganas.

“Hanya kerana kepercayaan mereka (Muslim) berbeza, ia tidak bermakna mereka pengganas dan hanya kerana ada kumpulan yang mengaku sebagai kumpulan Islam dan melakukan keganasan, tidak sepatutnya semua populasi Islam dipersalahkan.


“Lebih banyak kamu bercakap menentang Islam dan menentang semua Muslim, lebih banyak pengganas akan dicipta. Jadi, begitu penting terhadap apa juga yang disebut oleh ahli politik dan media, mereka perlu sangat berhati-hati dengan kenyataan itu.

“Kalau kamu berhasrat untuk menghentikan keganasan, jangan cuba salahkan seluruh populasi Muslim terhadap keganasan yang berlaku kerana ia tidak akan menghentikan keganasan sebaliknya ia hanya akan mencipta lebih banyak pengganas,” katanya.

Malala berkata demikian bagi menjawab soalan Jon Snow berkaitan suasana di Los Angeles, semalam yang menyaksikan semua sekolah ditutup gara-gara ancaman pengganas serta kenyataan keras beberapa ahli politik terhadap Islam.

Mengulas lanjut, Malala berkata, masyarakat dunia perlu cuba mempamerkan keharmonian terhadap orang Muslim dan menerima mereka serta menyatakan bahawa mereka itu layak untuk hidup sebagai manusia normal.

Malala yang kini menetap di Birmingham, England bersama keluarganya merupakan mangsa yang terselamat selepas ditembak oleh Taliban kira-kira tiga tahun lalu kerana memperjuangkan kesaksamaan pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.

Malala sempat menyatakan penghargaan ke atas penerimaan dan sokongan rakyat Birmingham ke atas kehadiran beliau dan keluarga di sana.

No comments:

Post a Comment