Tuesday 15 December 2015

Ubah Sukatan Pelajaran Tangani Militan


Perubahan besar terhadap sistem dan sukatan pendidikan agama dengan memantapkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) perlu dilakukan dalam usaha menangani ancaman fahaman militan di negara ini.
Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, sukatan subjek Agama Islam perlu dibersihkan daripada elemen-elemen yang boleh menjadi benih kepada ekstremisme dan sikap takfiri iaitu fahaman yang mudah mengkafirkan umat Islam lain yang mempunyai pandangan berbeza, seperti ajaran tauhid tiga gaya Wahabi.

Katanya, sukatan itu perlu digantikan dengan pengajian tauhid kaedah sifat 20 yang berasaskan pegangan tauhid Rasulullah dan para salaf yang dipertahankan oleh para ulama asyairah maturidiah sejak zaman berzaman.
Tambahnya, meskipun isi sifat 20 itu bersifat tradisional, ia sangat relevan sekiranya disampaikan dengan gaya yang kontemporari dan bahasa moden.
“Sukatan pelajaran menengah atau menengah tinggi kita pula perlu juga dimasukkan isi-isi yang memberikan kefahaman berkaitan fiqh amar makruf nahi munkar, fiqh jihad dan fiqh ketaatan kepada pemerintah. Ini penting supaya generasi akan datang tidak mudah terlibat dengan budaya hedonisme, pelampau liberalisme, pelampau militansi dan pengkhianatan terhadap agama, bangsa dan negara.
“Kita perlu mewajibkan kursus pembentangan dan pemerkasaan pegangan dan amalan ASWJ kepada para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti di dalam dan lebih-lebih lagi di luar negara. Selain itu, kita perlu mewajibkan kursus selepas mereka menamatkan pengajian bagi membasmi virus-virus ekstremisme yang mungkin telah berjangkit” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Negara Islam: Jihad vs Militan anjuran Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Engku Ahmad Fadzil memberitahu, pihak berkuasa perlu menapis semua penceramah atau pensyarah tempatan dan luar negara sebelum dijemput oleh agensi kerajaan, badan berkanun serta mana-mana institusi.
Katanya, mereka perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri dan sekurang-kurangnya majoriti para mufti.
“Pihak berwajib juga perlu menyediakan saluran aduan yang mudah untuk anggota masyarakat melaporkan dan menghantar bukti-bukti ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan pegangan ASWJ,” jelasnya.
Sementara itu, beliau meminta agar diwujudkan institusi khusus yang mengkaji dan memantau perkembangan media baharu bagi mengesan serta mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap elemen-elemen ekstrem melibatkan pelampau sekularisme liberalisme dan literalisme takfiri.
“Dalam masa sama, kerajaan perlu mewujudkan pasukan pengurusan persepsi yang efisien dan efektif untuk mengelakkan serta mendepani ancaman-ancaman daripada pelampau persepsi,” katanya.
Sumber : Utusan Online.

No comments:

Post a Comment