Akidah merupakan tunjang dan asas yang terpenting dalam nadi kehidupan seseorang. Akidah atau ikatan atau kepercayaan kepada Allah ini juga adalah akar umbi dan dasar yang wajib ada dalam hati dan diri kita. Tanpanya, pasti hidup ini tidak ada arah dan tujuannya, terumbang-ambing dan tidak terurus jiwa nuraninya. Tanpanya juga, pasti kita tidak digelar Muslim, apatah lagi Mukmin yang sejati.
Dengan akidah, hati dan keyakinan kita pasti terikat bersama satu kepercayaan dan keyakinan yang mantap tentang Tuhan yang Esa, iaitu Allah Yang Maha Esa. Akidah juga mendorong pemikiran kita untuk meletakkan asas wahyu lebih tinggi daripada pemikiran akal itu sendiri. Akidah Islam adalah pada kalimah toyyibah, La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah. Jika seseorang menafikan atau menolak serta tidak meyakini akan kebenaran kalimah syahadah ini, maka, kufurlah ia!
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Surah Ali-‘Imran : 102)
“Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”.” (Surah al-An’am : 162-163)
Akidah yang utuh pastilah akidah yang benar dan tersimpul mati keyakinan dan kepercayaan terhadap sesuatu. Akidah Islam ini tidak akan lari dan jauh daripada sumber rujukan utamanya iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah. Dua sumber utama ini juga harus dipasakkan dalam diri setiap kita bagi memastikan diri terhindar daripada ajaran sesat dan kebatilan. Ia juga menjadi kompas utama dan manual kehidupan kita di atas muka bumi ini.
Bila akidah sudah mantap dan utuh, pasti akan terlahirnya sebuah keimanan yang kukuh dalam hati kita. Iman. Iman pada bahasa, menurut Jarjani, bermaksud membenarkan dengan hati. Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah pula, iman membawa makna mengucapkan dengan lisan, meyakini dengan hati dan melakukan dengan anggota badan. Lisan, hati dan anggota merupakan tiga aspek penting bagi memastikan keimanan yang sebenar dapat dibentuk. Ini berasaskan kalam-Nya yang bermaksud,
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemeNtarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.” (Surah al-Anfaal : 2-4)
Diriwayatkan daripada Abu Husain yang dikenali sebagai Ibn Bathal al-Maliki, dia berkata :
“Pendapat golongan ahli sunah baik yang salaf mahupun khalaf menyatakan bahawa iman itu berupa perkataan dan perbuatan yang terkadang bertambah, terkadang berkurang.”
Seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dia lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).” (Surah al-Fath : 4)
Ulama’ sufi mengemukakan banyak mutiara kata tentang keimanan. Antaranya :-
i. Abu Abdillah bin Khafif berkata : “Iman ialah mentasdiqkan hati dengan apa yang dinyatakan Allah S.W.T. yang Haq daripada segala perkara ghaib.”
ii. Sahl bin Abdillah al-Tustari berkata : “Orang-orang yang beriman melihat kepada-Nya dengan mata tanpa penguasaan dan kesudahan.”
“Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki.”(Surah Ibrahim : 27)
Bilamana akidah sudah utuh, iman pula sudah semakin kukuh, maka, ummah juga akan semakin teguh! Teguh dalam menegakkan perjuangan Islam! Teguh dalam memperjuangkan hak-hak Allah di atas muka bumi ini! Ummah akan thabat dan teguh dalam melaksanakan perintah Allah dan teguh menjauhi serta meninggalkan perkara-perkara yang dimurkai Allah. Ummah juga akan teguh melawan nafsu, syaitan dan kemungkaran!
Hal ini berkait rapat dengan sebuah hadis Umar Bin al-Khattab, yang masyhur dengan hadis Jibril, menyentuh berkenaan Ihsan, yang bermaksud,
“Ihsan adalah kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihatnya, jika kamu tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ibn Hibban dan Ahmad)
Jika akidah kita sudah utuh, iman kita sudah kukuh, pasti diri kita akan teguh daripada melakukan perkara-perkara kemungkaran, kemaksiatan dan kebatilan. Ini kerana, hati dan diri sudah terikat dan meyakini bahawa Allah itu ada dan sentiasa memerhatikan tingkah hamba-Nya. Jika kita sudah ada keyakinan yang jitu dan mantap, mana mungkin kita berasa ‘tidak malu’ dan ‘berani’ untuk mengingkari Tuhan sekalian alam ini? Mana mungkin kita ‘bangga’ melakukan kemungkaran terhadap-Nya, jika akidah dan keimanan kita benar-benar meyakini-Nya bahawa Dia melihat kita!
Tambahan pula, dengan akidah dan keimanan yang jitu inilah kita meyakini bahawa adanya dua malaikat yang sentiasa mencatit segala amal dan perbuatan kita sama ada baik mahupun buruk. Kita juga meyakini bahawa adanya hari akhirat, hari pembalasan dan wujudnya Syurga dan Neraka.
Bila ketiga-tiga ini dikumpulkan iaitu akidah, iman dan ummah berpadu, maka, akan terlahirlah Islam dan Muslim yang sebenar dan jitu! Akan tertegaklah Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara! Akan mudahlah ummah untuk bersatu dan beradu tenaga dalam menghidupkan semangat Islam dan berjuang kerana Allah! Bukan mudah, tetapi bukan mustahil! Kan?
Segalanya memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Segalanya memerlukan usaha yang bukan sedikit tetapi banyak sekali! Akidah mestilah dijaga dan dipelihara sebaiknya daripada unsur-unsur syirik dan menyekutukan Allah! Iman pula harus dipastikan bahawa ianya sentiasa ke arah usaha yang menaikkan iman itu sendiri dan menghindari perkara yang boleh membatalkan iman seperti syirik, khurafat dan sebagainya. Ummah pula perlu dipastikan agar tetap bersatu dan tidak berpecah belah.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) Syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”. (Surah al-Fushshilat : 30)
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya : “Wahai Abu Said! Siapa yang meredai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi ; maka wajiblah baginya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Maka, masihkah kita mahu terus terlena dengan buaian cinta dunia dan melayan kehendak nafsu semata? Apakah kita rela mengorbankan kebahagiaan akhirat demi mengaut keuntungan dan kemikmatan dunia yang hanya sementara ini?
Sesungguhnya, akidah yang utuh itu mampu mengukuhkan iman dan mampu meneguhkan ummah yang kian lemah dengan ujian perbalahan dan penyakit hati yang semakin menular dalam kalangan kita. Usaha, bina, dan yakinlah bahawa kita mampu melahirkan generasi yang memiliki pakej lengkap Islam dan Muslim itu sendiri sebagaimana generasi al-Fateh dahulu iaitu akidah utuh, iman kukuh, ummah teguh!
~Islam takkan tertegak, andai Islam dalam diri tak tertegak! Mari, bergerak! :)
No comments:
Post a Comment