Islam tidak pernah mengajarkan keganasan. Dalam ajaran Islam hanya ada fiqh jihad yang jauh sama sekali daripada pengertiaan keganasan. Keganasan dilakukan sesuatu kumpulan atau seorang bagi memenuhi agenda politik mereka.
Orang awam yang tidak berdosa sentiasa dijadikan korban bagi mencapai matlamat mereka. Jihad pula adalah untuk mengekalkan keadilan dan keimanan di atas muka bumi. Jihad dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT, bukan untuk agenda atau kepentingan tertentu.
Allah memerintah hamba-Nya supaya mengamalkan toleransi, keamanan, cinta dan belas kasihan sesama manusia. Allah melarang manusia mengikut langkah-langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia (Surah al-Baqarah: 208).
Mana-mana kumpulan atau individu yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini maka mereka adalah orang yang zalim. Maksud firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah al-Qasas: 77). Menceroboh dan membunuh sesuka hati seperti yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) pada abad ini atau mana-mana kumpulan pengganas sekali pun merupakan satu contoh kerosakan dan kezaliman.
Demikian juga dengan tindakan membunuh manusia beramai-ramai dengan cara meletupkan diri (suicide attacks) di tengah-tengah masyarakat awam adalah satu jenayah yang bukan daripada ajaran Islam. Membunuh tanpa hak adalah ibarat membunuh manusia seluruh
"Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah al-Maidah: 32).
Justeru, tiada kena-mengena keganasan dengan Islam. Hakikatnya, punca keganasan bukanlah sebab agama tetapi daripada faktor fenomena sosial akibat berlakunya ketidakadilan dan penindasan dalam masyarakat.
Kejahatan yang dilakukan oleh kumpulan IS pada hari ini dilakukan oleh orang Islam yang menyeleweng. Ia seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Kristian ketika zaman kegelapan dulu.
Ketika Islam mula berkembang di Mekah, ramai yang memeluk Islam termasuk orang Badwi yang tinggal di pedalaman gurun.
Oleh kerana Badwi yang tinggal di pedalaman gurun adalah mereka yang mundur dari segi ketamadunan dan intelektual maka mereka gagal memahami dan mendalami Islam dalam erti kata yang sebenar. Allah menyatakan hal ini di dalam al-Quran:
"Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Surah at-Taubah: 97).
Justeru, golongan yang terpengaruh dengan IS itu boleh diumpamakan seperti a orang badwi itu - terdiri dari orang yang jahil, kufur dan munafiq dan akhirnya menjadi 'duri dalam daging’ atau petulang kepada Islam.
Golongan fanatik dan ekstrem ini mendakwa diri mereka memahami Islam walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami Islam sepenuhnya sehingga tindakannya menyeleweng daripada al-Quran. Golongan fanatik dan ekstrem seperti ini sanggup membunuh sesiapa sahaja seperti mana yang berlaku ke atas Saidina Ali yang dibunuh oleh aktivitis ektremis golongan kharijiyyah daripada puak Syiah.
Penyakit yang ada pada dunia Barat pula ialah mengambil kesempatan atas sifat permusuhan dan kejahilan dengan menubuh atau memprotretkan Islam mengajar dan mendukung keganasan.
Persepsi ini perlu diubah walaupun terpaksa mengambil jangka masa panjang untuk membetulkannya. Dunia Barat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memburukkan Islam dan umatnya.
Sering kali juga mereka menggunakan kuasa untuk memerangi negara umat Islam atas nama memerangi keganasan. Mereka cuba menghidupkan atau menyemarakkan pertembungan agama atau budaya seolah-olah mahu membenarkan teori clash of civilization, iaitu satu doktrin yang dicipta oleh Samuel Huntington pada 1990-an.
Sepatutnya Barat yang didominasi oleh Kristian berusaha merapatkan hubungan dengan dunia Islam kerana Allah menyatakan bahawa penganut Kristian sebagai paling dekat persabahatannya dengan orang yang beriman (Surah al-Maidah: 82).
Justeru, dialog peradababan mesti terus disemarakkan, terutamanya antara penganut Kristian dengan umat Islam supaya dapat duduk semeja untuk saling bermusyawarah dan memastikan agama tidak dikaitkan dengan sebarang keganasan.
Oleh : Mohd.Ayop Abd Razid
Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.
No comments:
Post a Comment