Friday, 1 January 2016

Bantuan Pendidikan Untuk Golongan Asnaf


Sumber : Utusan Online

Pendidikan merupakan antara elemen terpenting yang diterapkan dalam ajaran Islam kerana dengan nikmat ilmu yang dimiliki membolehkan manusia membezakan antara perkara hak dan batil.

Islam juga sangat mengambil berat perihal kewajipan menuntut ilmu kepada umatnya bermula dari usia muda sehinggalah ke usia tua. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dan sesiapa berjalan di jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga,”- Riwayat Ibnu Majah.

Percaya dengan kelebihan ilmu yang dimiliki dapat menjadikan seseorang individu berjaya dalam kehidupan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan bantuan pendidikan kepada golongan asnaf.



Timbalan Pengurus Baitulmal MAIWP, Ahmad Talmizi Yahaya berkata, golongan yang layak menerima zakat terdiri daripada fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah yang sedang menuntut di sekolah rendah hingga peringkat pengajian tinggi.
Katanya, bantuan zakat tersebut akan dibayar kepada mereka sekali setiap tahun mengikut jumlah dan peringkat pengajian masing-masing.

Ahmad Talmizi berkata, terdapat tujuh kategori bantuan yang ditawarkan kepada golongan ini bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada mereka sepanjang mengikuti pengajian.
“Ia meliputi bantuan am persekolahan, bantuan peralatan dan pakaian persekolahan serta bantuan kecemasan sekolah.

“Termasuk juga bantuan persediaan institusi pengajian Tinggi (IPT), bantuan pelajaran IPT dalam dan luar negara, bantuan biasiswa cemerlang dalam dan luar serta bantuan tuisyen,” katanya.

Tambah Ahmad Talmizi, bagi bantuan peringkat sekolah rendah dan menengah pula terdiri daripada skim bantuan am persekolahan, bantuan peralatan dan pakaian sekolah.

“Manakala di peringkat lebih tinggi, bantuan am pelajaran IPT diberikan kepada asnaf yang menyambung pengajian pada peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

“Bagi pelajar cemerlang pula adalah skim bantuan biasiswa pelajar cemerlang MAIWP dalam dan luar negara yang ditumpukan kepada asnaf fisabilillah. Tajaan ini adalah sepanjang tempoh pengajian mereka,”jelasnya.

Katanya, di bawah asnaf ibnu sabil, MAIWP turut memperuntukkan bantuan tambang dan keperluan diri bagi mereka yang sedang berada dalam kesusahan ketika musafir.

“Mereka akan dibantu melalui pembelian tiket pulang ke destinasi masing-masing selain turut dibekalkan dengan duit belanja,” katanya.

Sumber : Utusan Online.

No comments:

Post a Comment