Monday, 18 January 2016

Azan & Muadzin : Sejarah, Kelebihan dan Amanah Rasulullah



Azan adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Mukmin boleh diseru supaya berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. Iqamah pula bermaksud sebutan tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk mula mengerjakan solat.

Seruan azan mempunyai sejarahnya tersendiri. Ia tidak didapati pada zaman Nabi-Nabi terdahulu. Begitu juga seorang muadzin, yakni orang yang mengumandangkan azan, apabila dahulu tiadanya azan, maka tiadalah muadzin.

SEJARAH AZAN DAN IQAMAH

Dari Abdullah bin Zaid, dia berkata: “Pada awalnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkehendak cara panggilan solat, dan beliau menyuruh sahabatnya memukul kentongan (batang kayu/tabuh). Lalu aku bermimpi. Aku melihat seseorang mengenakan dua kain hijau membawa kentongan. Lalu aku bertanya: “Wahai hamba Allah, kamu menjual kentongan ini?” Dia bertanya: “Apa perlumu dengan kentongan?” Aku menjawab: “Akan aku pergunakan untuk panggilan solat.” Dia lalu berkata: “Mahukah engkau ku tunjukkan yang lebih baik dari itu?” Aku menjawab: “Apa itu?” Dia menjawab: “Ucapkanlah: ‘Allahu akbar Allahu akbar, Allahu akbar Allahu akbar – Asyhadu an laa ilaaha illallah, Asyhadu an laa ilaaha illallah – Asyahadu anna Muhammadan Rasulullah, Asyahadu anna Muhammadan Rasulullah – Hayya ‘alas sholaah, Hayya ‘alas sholaah – Hayya ‘alal falaah, Hayya ‘alal falaah – Allahu akbar Allahu akbar – Laa ilaaha illallah’.” Lalu aku mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengkhabarkan perihal mimpiku kepada beliau. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Sesungguhnya sahabat kalian telah bermimpi, keluarlah ke masjid bersama Bilal, beritahulah kepada Bilal dan hendaklah dia yang menyerukan hal itu, sebab suaranya lebih kuat daripada kamu.” Maka aku keluar bersama Bilal menuju masjid, aku ceritakan mimpiku hingga dia menyerukannya. Dan Umar Ibnu Al-Khattab mendengar suara itu hingga dia mendatangi Rasulullah seraya berkata: “Wahai Rasulullah, Demi Allah aku juga bermimpi sebagaimana yang dia mimpikan!”

Dari Anas bin Malik, dia berkata: “Ketika manusia sudah banyak (yang masuk Islam), ada yang mengusulkan cara memberitahu masuknya waktu solat dengan sesuatu yang mereka boleh fahami. Maka ada yang mengusulkan dengan menyalakan api dan ada juga yang mengusulkan dengan memukul loceng. Lalu diperintahlah Bilal untuk mengumandangkan kalimah azan dengan genap (dua kali) dan mengganjilkan iqamah (sekali).”

Dari Wahab bin Abdullah, dia berkata; “Aku datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Bilal keluar dan azan. Dia (Bilal) memiringkan badannya ke kanan dan ke kiri.” 

Dari Bilal bin Rabah bahawa dia mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam untuk azan solat Subuh, lalu dikatakan kepadanya: “Beliau sedang tidur.” Maka bilal pun berkata: “As sholatu khairun minan naum, as sholatu khairun minan naum (Solat itu lebih baik daripada tidur, solat itu lebih baik daripada tidur).” Hingga lafaz itu ditetapkan untuk dikumandangkan pada azan Subuh.”

Dari Salim bin Abdullah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Bilal mengumandangkan azan di malam hari, makan dan minumlah kalian (sahur) hingga Ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan.” Salim bin Abdullah berkata: “Abdullah bin Ummi Maktum adalah seorang laki-laki buta, dia tidak mengumandangkan azan hingga dikatakan padanya: ‘Subuh telah tiba, subuh telah tiba’.”

Dari Ibnu Umar bahawa dia pernah mengumandangkan azan pada suatu hari yang dingin dan berangin. Kemudian dia berkata: “Solatlah di tempat tinggal kalian.” Dia melanjutkan perkataannya: “Jika malam sangat dingin dan hujan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan seorang muadzin untuk mengucapkan: “Hendaklah kalian solat di tempat tinggal kalian.”

Dari As Sa’ib bin Yazid, dia berkata: “Pada mulanya azan pada hari Jumaat dikumandangkan ketika imam sudah duduk di atas mimbar. Iaitu apa yang biasa dipraktikkan sejak zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan Umar radliallahu ‘anhum. Pada masa Khilafah Uthman bin Affan radliallahu ‘anhu ketika manusia sudah semakin banyak, maka pada hari Jumaat dia memerintahkan azan yang ketiga. Sehingga dikumandangkanlah azan (ketiga) tersebut di Az Zaura (tempat tinggi di pasar Madinah). Kemudian berlakulah urusan tersebut menjadi ketetapan.”

KELEBIHAN DOA SELEPAS AZAN

Dari Abdullah bin ‘Amru bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bila kalian mendengarkan seorang muadzin (azan), maka katakanlah seperti apa yang dikatakan oleh muadzin, kemudian berselawatlah kepadaku, kerana barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan membalas sepuluh kali selawat, dan mohonlah wasilah untukku, kerana ia adalah salah satu kedudukan di syurga yang tidak layak diberikan kecuali kepada salah seorang dari hamba Allah dan aku berharap semoga aku menjadi orang tersebut. Barangsiapa memohonkan wasilah untukku, maka dia berhak untuk mendapatkan syafaat.”

Dari Sa’ad bin Abu Waqas bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mendengar azan kemudian mengucapkan: ‘Aku juga bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, aku redha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi’, maka dosanya akan diampuni.”

SUNNAH SETELAH MENDENGAR AZAN

Dari Abdullah bin Mughaffal bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Antara dua azan (azan dan iqamah) ada solat (sunnah).” Kemudian pada ucapan beliau yang ketiga kalinya, beliau menambahkan: “Bagi yang mahu mengerjakannya.”

Dari Anas bin Malik, dia berkata: “Jika seorang muadzin sudah mengumandangkan azan (Maghrib), maka para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berebut mendekati tiang-tiang (untuk solat sunat) hingga Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar, sementara mereka tetap dalam keadaan menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib. Dan di antara azan dan iqamah Maghrib sangatlah sedikit (waktunya).”

DOA ANTARA AZAN DAN IQAMAH

Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak akan tertolak doa antara azan dan iqamah.”

Dari Sahal bin Sa’ad bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dua perkara yang tidak ditolak atau jarang ditolak, iaitu berdoa ketika azan, dan (berdoa) ketika perang di saat sebahagian mereka membunuh sebahagian yang lain.”

ANJURAN AZAN DAN IQAMAH

Dari Malik bin Al Huwairits, dia berkata: “Dua orang laki-laki datang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, keduanya ingin melakukan suatu perjalanan (musafir). Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Jika kalian berdua sudah keluar, maka (bila hendak solat) azan dan iqamahlah. Dan yang menjadi imam hendaklah yang paling tua di antara kalian.”

APABILA SYAITAN MENDENGAR AZAN DAN IQAMAH

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika panggilan solat (azan) dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil mengeluarkan kentut agar tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila panggilan azan telah selesai, maka syaitan kembali. Dan bila iqamah dikumandangkan syaitan kembali berlari dan jika iqamah telah selesai dikumandangkan dia kembali lagi untuk mengganggu seseorang di antara dirinya dan jiwanya seraya berkata: “Ingatlah ini dan itu.” Hingga orang itu tidak menyedari apakah tiga atau empat rakaat solat yang sudah dikerjakannya. Apabila dia tidak tahu tiga atau empat rakaat, maka sujudlah dua kali sebagai sujud sahwi.”

TIADA KERINGANAN JIKA MENDENGAR AZAN DARI RUMAH

Dari Abu Hurairah, dia berkata: “Seorang laki-laki buta pernah menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya tidak memiliki seseorang yang akan memimpinku ke masjid.” Lalu dia meminta keringanan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat di rumah. Ketika sahabat itu berpaling, beliau kembali bertanya: “Apakah engkau mendengar panggilan solat (azan)?” Laki-laki itu menjawab: “Ya.” Beliau bersabda: “Penuhilah seruan tersebut (hadiri solat jemaah).”

Dari Ibnu Ummi Maktum bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Ya Rasulullah, saya adalah seorang yang buta dan rumahku jauh, sedangkan saya mempunyai orang yang memimpinku tapi dia tidak membantuku, maka apakah saya mendapatkan keringanan untuk melaksanakan solat di rumahku?” Beliau bersabda: “Apakah kamu mendengar azan?” Dia menjawab: “Ya.” Beliau bersabda: “Saya tidak menemukan adanya keringanan untukmu!”

MELANGGAR SUNNAH RASUL

Dari Abu Asy Sya’tsa, dia berkata: “Kami duduk-duduk bersama Abu Hurairah di dalam masjid, lalu seorang muadzin mengumandangkan azan, dan ketika itu pula ada seorang laki-laki di dalam masjid berdiri kemudian keluar, sementara Abu Hurairah mengikutinya dengan pandangan mata. Setelah itu dia berkata: “Orang ini telah menderhakai Abul Qasim shallallahu ‘alaihi wasallam (tidak menunaikan solat).” (Sahih Muslim, no. 1047, Sunan Abu Daud, no. 451, Sunan At-Tirmidzi, no. 188, hasan sahih, Sunan Ibnu Majah, no. 725, Sunan An-Nasa’i, no. 676, Musnad Ahmad, no. 8947)
Dari Uthman bin Affan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mendengarkan azan di masjid kemudian keluar (dari masjid) bukan kerana suatu hajat, dan dia tidak ingin kembali lagi, maka dia adalah orang munafik.”

KEUTAMAAN DAN KELEBIHAN MUADZIN

Dari Uqbah bin Amir bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Rabb kalian kagum kepada seorang pengembala kambing yang berada di puncak gunung, dia mengumandangkan azan untuk solat lalu dia solat, maka Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: “Lihatlah kepada hamba-Ku ini, dia mengumandangkan azan dan iqamah lalu solat kerana takut kepada-Ku. Aku telah mengampuni hamba-Ku ini dan memasukkannya ke syurga.”

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Muadzin itu mendapat keampunan sejauh suaranya itu (terdengar), dan semua makhluk hidup dan benda mati akan menjadi saksi baginya, dan orang yang menghadiri solat tersebut (ikut berjemaah) dicatat baginya ganjaran dua puluh lima kebaikan dan dihapus darinya dosa antara kedua solat itu.”

Dari Al-Barra’ bin Azib bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Allah dan para malaikat mendoakan (orang-orang) yang berada di saf hadapan. Seorang muadzin akan diampuni sejauh suaranya, dan setiap yang mendengarnya dari semua yang basah dan kering akan membenarkannya, dan dia mendapat pahala seperti pahala orang yang ikut solat bersamanya.”

Dari Abu Sa’id dia berkata kepada Abdullah bin Abdurrahman: “Jika engkau berada di gurun pasir maka keraskanlah suara azanmu, sebab aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidaklah mendengar suara azan itu baik jin, manusia, pohon-pohonan dan batu kecuali ia akan menjadi saksi baginya pada hari Kiamat.”

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa mengumandangkan azan selama dua belas tahun, maka wajib baginya syurga. Dan dengan azannya, dalam setiap harinya akan dituliskan enam puluh kebaikan, dan tiga puluh kebaikan untuk setiap iqamah yang dia lakukan.”

Dari Mu’awiyah bin Abu Sufyan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang yang paling panjang lehernya pada hari Kiamat adalah para muadzin.”

AMANAH RASUL

Dari Uthman bin Abu Al ‘Ash, dia berkata: “Amanah terakhir yang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berikan kepadaku adalah agar aku mengangkat (melantik) seorang muadzin yang tidak mengambil upah dari azannya tersebut.” Abu Isa berkata: “Hadith Uthman ini darjatnya hasan sahih. Pengamalan terhadap hadith ini menurut ulama’ adalah, bahawa mereka memakruhkan bagi tukang azan mengambil upah atas azannya, dan mereka lebih menyukai jika mereka (muadzin) mengharapkan pahala dari azan yang dia lakukan.”

No comments:

Post a Comment