Monday 4 January 2016

Kepentingan Masjid Al-Azhar Dalam Islam


Nama al-Azhar amat dikenali sebagai sebuah universiti Islam terkenal yang terletak di Mesir. Universiti ini diasaskan di sebuah masjid yang diberi nama Masjid al-Azhar sewaktu zaman pemerintahan Dinasti Fatimiyyah di Mesir pada abad ke-10 Masihi. Masjid ini dibina oleh pemerintah Dinasti Fatimiyyah yang bernama Khalifah al-Mu’izzli Din Allah selepas beliau menakluki Mesir.

Ia telah digunakan untuk sembahyang jemaah buat kali pertama pada tahun 972 Masihi dan seterusnya melebarkan fungsinya sebagai pusat pembelajaran teologi bermula pada tahun 989 Masihi. Masjid ini merupakan masjid jamek yang keempat dibina di Mesir selepas Masjid ‘Amr, al-Askar dan Ibnu Tulun.


Bangunan asal Masjid Al-Azhar adalah lebih kecil daripada bangunan yang terdapat pada hari ini. Bangunan asal masjid ini mempunyai tiga buah kubah dan sebuah menara kecil di atas pintu masuk utama. Hiasan utama yang digunakan ialah hiasan stucco atau plaster yang menggunakan bentuk arabesque, daun palma, dan tulisan kaligrafi Kufik. Hiasan stucoo yang digunakan mempunyai pelbagai gaya hiasan yang membawa kemungkinan bahawa ia ditambah oleh pemerintah Fatimiyyah yang seterusnya.

Sewaktu pemerintahan Khalifah Al-Hafiz, baginda telah memperkenalkan hiasan kaca berwarna di dalam masjid ini. Kaca berwarna hijau dan kuning digunakan sebagai hiasan tingkap.
Antara bahagian masjid yang melalui banyak pertukaran ialah menara masjid. Beberapa pemerintah dinasti Islam telah menukar menara Masjid al-Azhar antaranya ialah Sultan Barquq pemerintah dinasti Mamluk abad ke-14 Masihi yang menukarkan menara asal dengan sebuah menara lebih tinggi diperbuat daripada batu kerana beliau mendapati menara asal terlalu rendah.

Namun begitu terdapat masalah teknikal apabila struktur menara itu rosak dan terpaksa dirobohkan beberapa tahun kemudian. Seorang lagi pemerintah bernama Sultan al-Mu’ayyad telah membina menara baru pada tahun 1444 tetapi ia juga mengalami masalah apabila struktur menara senget dan terpaksa dirobohkan semula.

Sultan Qaytbay telah membina sebuah pintu masuk utama dan sebuah menara di atasnya menggunakan batu yang diukir. Selepas itu, Sultan al-Ghurl pula telah membina sebuah menara yang lebih besar saiznya pada tahun 1510 berhampiran dengan pintu masuk utama.

Seperti masjid Afrika Utara yang lain, masjid Al-Azhar juga mempunyai halaman dalam dan juga kawasan koridor dalam yang dipagari dengan binaan gerbang dan tiang yang digunakan para pelajar dan guru sewaktu sesi pembelajaran. Peranan Masjid al-Azhar sebagai sebuah pusat pembelajaran terkemuka Islam semakin berkembang di bawah pemerintahan dinasti Uthmaniyah yang berjaya menakluki Mesir pada awal abad ke-16 Masihi.

Di bawah pemerintahan Uthmaniyah, para pelajar datang dari seluruh wilayah jajahan Uthmaniyah dan wilayah Islam lain termasuk dari alam Melayu yang datang ke Masjid al-Azhar untuk mendalami ilmu Islam seperti Fikah dan Tauhid.

Bangunan Masjid al-Azhar yang ada pada hari ini merupakan hasil daripada percampuran seni dan budaya pelbagai dinasti Islam dan kerajaan yang memerintah Mesir selepas kejatuhan Dinasti Fatimiyyah. Ia merupakan sebuah tempat warisan Islam yang mesti dilawati jika menjejakkan kaki di Kaherah, Mesir.

Sumber : Utusan Online.

No comments:

Post a Comment