Tuesday 19 January 2016

Tindakan Dikenakan Jika Buka Maahad Tahfiz Tanpa Didaftar



Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang membuka maahad tahfiz di negeri Perak, dengan tidak mendaftarkannya, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Datuk Mohd Yusop Husin.

Beliau berkata sekiranya jumlah murid di maahad tahfiz tersebut melebihi 20 orang, ia perlu didaftar di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat 1996.


"Sekarang ini, terdapat 'trend' mereka tubuh dahulu (maahad tahfiz), kemudian baharu mendaftar. Sepatutnya dari segi undang-undang, mereka perlu memohon terlebih dahulu kerana kita ingin melihat dari segi modul pendidikan, kewangan dan keselamatan.

"Oleh itu, mereka yang tidak mendaftar, boleh dikenakan denda RM100 setiap hari atau maksimum sehingga RM3,000," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri di Ipoh.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak Datuk Mohd Nizar Zakari di Institut Tadbiran Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Yusop berkata terdapat kira-kira 15 maahad tahfiz yang masih belum didaftarkan berdasarkan hasil pemantauan pihaknya.

"Apabila kita melakukan soal siasat terhadap pihak berkenaan, mereka mendakwa tidak mengetahui mengenai keperluan untuk mendaftar dan ada juga yang enggan untuk melakukan pendaftaran," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Perak bersedia memberi bantuan kewangan kepada pengusaha yang ingin menubuhkan pusat pengajian agama mengikut keperluan prasarana dan bilangan pelajar.

Katanya, sehingga kini kira-kira 600 maahad tahfiz di negeri ini telah didaftarkan.

Sumber - Bernama.

No comments:

Post a Comment