“Baju sekolah baru atau lama tak jadi masalah, asalkan boleh belajar sebab nak tolong keluarga, lagi pun dah biasa pakai baju lama.”
Itu luahan pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Islah, Sungai Lampam, Muhammad Rusydi Mohd Fazli, ketika ditanya wartawan Sinar Harian.
Dia yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, ayahnya tidak bekerja selepas lumpuh, manakala ibunya pula suri rumah.
“Kami adik-beradik sudah biasa dalam situasi ini, kalau ada baju sekolah baharu adalah, kalau tiada kami pakai sahaja yang lama.
“Untuk tahun ini kami pakai baju lama kerana tidak mampu membeli pakaian baharu,” katanya sambil tersenyum selepas menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Ikhlas dan Seng Heng Malaysia, semalam.
Ditanya sama ada dia dan adik-adiknya menerima bantuan persekolahan atau tidak sebelum ini, dia menggeleng kepala kemudian tunduk memandang lantai.
Bagi Muhamad Firdaus Hafiz, 17, kesusahan keluarga tidak dijadikan alasan untuk dia terus bersekolah dengan memakai pakaian tahun lalu.
“Ayah saya kerja kampung, emak pula suri rumah, jadi saya faham jika kami adik-beradik tidak dapat baju baharu.
“Baju sekolah tahun lepas pun masih boleh dipakai jadi tak perlu membazir beli yang baharu,” katanya.
Muhammad Firdaus yang merupakan anak sulung dari tiga beradik turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih kerana dipilih menerima bantuan persekolahan, semalam.
Pelajar tingkatan dua, SMA Maahad Al Islah, Muhamad Alif Haiqal Zamri, bersyukur kerana diberi peluang menerima bantuan berkenaan.
“Kami adik-beradik sudah tiada ayah selepas dia meninggal dunia, jadi ibu yang menanggung keluarga kami,” katanya.
Rosyidatul Najwa Padzi, 14, berkata, sumbangan yang diterimanya sedikit sebanyak membantu dia menimba ilmu dengan keadaan lebih baik dan selesa.
“Ayah saya kerja bendang, ibu pula berniaga untuk menyara kami empat beradik belajar sama ada di universiti, sekolah menengah dan sekolah rendah,” katanya.
Dalam program itu, seramai 130 pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini dipilih bagi menerima sumbangan persekolahan.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment