Kemunculan beberapa gerakan kumpulan pengganas di kebanyakan negara sejak kebelakangan ini ternyata memberi imej negatif kepada umat Islam di seluruh dunia.
Gerakan yang kononnya berjuang di atas prinsip dan landasan yang benar itu mendakwa negara-negara bersistem sekular halal untuk diserang.
Pegangan mereka itu dibuktikan dengan insiden serangan dan meletupkan diri dengan bom di kawasan tumpuan terutamanya negara yang menjadi sasaran.
Hari ini, Malaysia turut tidak terlepas menjadi sasaran fahaman dan ideologi radikal kumpulan pengganas, ancaman terhadap negara ini dilaporkan benar-benar wujud oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesannya daripada tindakan kumpulan-kumpulan yang berfahaman 'keras' itu, Islam dikaitkan secara terang-terangan dengan agama yang melahirkan dan menyokong pengganas.
Buktinya, sekolah–sekolah pondok di negara ini juga turut menerima persepsi negatif dari isu keganasan yang kini dimainkan secara meluas.
Pengasas Pondok Islahiah Diniah Kampung Memali, Yusop Chemit berkata, pengajian yang ada di pondok tidak mendidik pelajar untuk menjadi pengganas.
Menurutnya, pengganas hanya lahir daripada mana-mana individu yang tidak faham dengan ajaran Islam yang benar.
“Perancangan yang dilakukan Yahudi cukup rapi, kemunculan pengganas seperti IS sengaja diadakan oleh mereka bagi tujuan menakutkan umat Islam kepada agama sendiri,” katanya.
Yusop berkata, sekolah-sekolah pondok diburukkan dengan tanggapan melahirkan pengganas memandangkan pakaian pengganas terutamanya IS turut menyerupai umat Islam.
“Imej kumpulan itu yang menyimpan janggut, memakai jubah dan serban secara zahir sama dengan imej umat Islam, sedangkan mereka mahu memberi gambaran buruk kepada agama Islam,” katanya.
Jelasnya lagi, perjuangan segelintir kumpulan yang meletupkan diri di kawasan orang awam sehingga menyebabkan kematian bukan sahaja bercanggah dengan apa yang diajar di pondok, malah bertentangan dengan ajaran Islam yang cintakan keamanan.
“Meletupkan diri dengan bom bercanggah dengan al-Quran dan hadis, dalam Islam tidak benarkan melakukan kacau bilau di kawasan awam, rumah ibadat, kanak-kanak, orang tua dan golongan wanita.
“Hancurkan bangunan dan serang di kawasan terbuka yang mempunyai ramai nyawa tidak berdosa juga tiada dalam sistem Islam,” katanya.
Pengerusi Madrasah Ar-Rahmaniah Sik, Muslim Salleh pula berkata, pandangan serong kepada institusi pondok yang sering dikaitkan dengan pengganas oleh segelintir pihak hanya propaganda musuh Islam.
Menurutnya, tidak adil untuk memfokuskan pondok terhadap punca masalah berkenaan kerana ia bertentangan dengan kaedah didikan yang diterapkan dengan institusi tersebut.
“Pondok melahirkan generasi yang lebih beradab dengan guru dan mengamalkan segala ilmu yang disampaikan dengan penuh disiplin.
“Ini kerana sistem pengajian pondok memang berteraskan tok guru sepenuh masa bersama murid berbanding sistem pengajian moden, murid menjadikan tok guru mereka sebagai ikutan dari segi akhlak dan sikap,” katanya.
Dalam pada itu, penuntut Pondok Ar Rahmaniah Sik, Khairul Nazwan berkata, setiap yang diajar di pondok adalah bertujuan mendidik seseorang individu itu mempunyai akhlak yang baik di samping didedahkan dengan kaedah untuk memahami kitab dan ayat-ayat suci al-Quran.
“Kitab-kitab agama yang diajar di pondok langsung tiada kaitan dengan meletupkan diri dengan bom sehingga terbunuh, membunuh diri dalam Islam adalah berdosa besar,” katanya.
Sementara itu, bekas pelajar Pondok Lanai, Allias Abdullah, 42, berkata, tuduhan melulu segelintir masyarakat kepada sistem pendidikan pondok sebagai tempat melahirkan tempat pengganas adalah salah sama sekali.
Menurutnya, sistem pembelajaran pondok merupakan sistem yang disusun oleh para alim ulama bagi melahirkan generasi beriman yang berpegang teguh dengan syiar dan syariat Islam.
“Kitab-kitab yang diajar di pondok juga berlandaskan ilmu tauhid, fiqh, tasawuf serta ilmu-ilmu fahaman agama yang mendalam.
“Ilmu-ilmu tersebut membawa seseorang itu untuk bertanggungjawab kepada agama dan masyarakat, malah ia juga mendekatkan individu berkenaan semakin dekat dengan ALLAH,” katanya di sini, semalam.
Allias Abdullah berkata, masyarakat hari ini perlu lebih matang dalam membuat penilaian terhadap sekolah-sekolah agama dan pondok agar tidak berlaku fitnah terhadap agama Islam.
“Islam sebenarnya agama yang amat memelihara keamanan dan ia bukannya agama yang membawa kepada kekacauan.
“Sekiranya sekolah pondok melahirkan pengganas, apakah penjenayah yang melakukan rompak, samun dan rogol itu turut dididik untuk melakukan kejahatan di sekolah mereka?,” katanya.
Jelasnya, umat Islam perlu lebih berhati-hati dengan strategi musuh-musuh Islam yang sentiasa berusaha memberi gambaran buruk kepada Islam.
Menurutnya, musuh-musuh agama juga menggunakan segelintir umat Islam sebagai tali barut kepada mereka bagi menjalankan strategi untuk memusnahkan negara-negara milik umat Islam.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment