Sekali lagi kita menyambut ketibaan awal Muharram yang menandakan peristiwa bersejarah Hijrah berlaku pada 622 Masihi. Tarikh ini mungkin berbeza dalam sumber-sumber yang berlainan. Hijrah amat besar maknanya kepada umat Islam kerana ia membawa pengertian tersurat dan tersirat.
Apabila Hijrah itu diselami secara telus, kita akan dapati maknanya memenuhi semua umat manusia di dunia tanpa mengira bangsa dan agama.
Semua umat manusia perlu memandang Hijrah secara objektif tanpa prejudis dan menyedari faedahnya kepada kesejahteraan umat manusia sejagat.
Fikiran terbuka tentang semua tamadun dunia dan sumbangan mereka dapat membentuk sahsiah mithali sebagai umat dunia. Apabila kita mengajar Sejarah Islam kepada pelajar, kita menggalakkan mereka berfikir secara terbuka dan menghormati dan menghayati tamadun sebagai salah satu penyumbang dalam pembentukan kemanusiaan. Mereka perlu dibimbing untuk melihat kecantikan tamadun Islam seiring dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Hijrah adalah universal, milik semua umat manusia. Maaf jika golongan ulama mempunyai pendapat lain.
Hijrah sebagaimana kita tahu adalah perkataan Arab yang membawa takrifan berpindah atau perpindahan.
Dalam konteks tamadun Islam, Hijrah membawa pengertian lahiriah dan rohaniah. Secara lahiriah atau fizikal, Hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah bagi tujuan meneguhkan kedudukan Islam. Peristiwa Hijrah berlaku apabila Nabi Muhammad SAW dan pengikut Islam berhijrah ke Kota Madinah apabila mereka menghadapi pelbagai rintangan dalam penyebaran syiar Islam.
Hijrah secara rohaniah juga berlaku pada masa sama. Ia juga membawa maksud perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan meninggalkan segala keburukan. Hijrah melambangkan semangat ingin berubah dari segi sikap, cara berfikir dan amalan. Hijrah pada ketika itu memberikan keberanian, kesabaran, keyakinan, keterbukaan, fikiran positif, aspirasi dan cita-cita untuk kemajuan dan keselamatan penduduk Islam. Hijrah inilah yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Islam pertama di Madinah dan menjadi tiang utama dalam tamadun Islam.
Sejauh manakah kita menghayati Hijrah ini dalam kehidupan di Malaysia? Kita membina Malaysia dengan satu impian negara bangsa yang terdiri daripada masyarakat majmuk pada 1957. Kira-kira 1338 tahun sebelum negara kita diasaskan, Nabi Muhammad SAW telah mengasaskan kerajaan Islam di Madinah dengan pengistyiharaan Piagam Madinah. Piagam ini merupakan Perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah dunia digubal lebih awal daripada Perlembagaan Amerika Syarikat (1787) dan Perlembagaan Peranchis (1795).
Apabila kita teliti, negara kita dibina atas dasar semangat Piagam Madinah. Menurut piagam ini masyarakat Madinah bebas menganuti agama dan budaya mereka masing-masing. Kehidupan masyarakat bukan Islam terjamin dari segi kedudukan dan keselamatan selagi Piagam Madinah tidak dicerobohi. Perlembagaan negara kita juga telah memberikan hak dan kebebasan yang sama kepada masyarakat majmuk yang berkorban bersama-sama dalam membina negara kita yang tercinta.
Piagam Madinah mengajar kita supaya hidup bersama dan bersatu padu memajukan negara. Teladan sudah pun ditunjukkan kepada kita lebih seribu tahun lalu.
Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat supaya perpaduan negara dipelihara daripada segala fikiran negatif yang boleh meruntuhkan negara. Semangat Hijrah perlu disemaikan di sanubari keseluruhan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Masyarakat kita perlu meninggalkan segala prasangka dan hidup bagai aur dan tebing demi negara yang kita kasihi. Kesederhanaan harus dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan ke arah negara yang harmoni. Ini telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW apabila Hijrah dilakukan.
Baginda mengajar semangat persahabatan antara kaum sebagai tunggak kemajuan negara.
Adakalanya rasa sedih melihat bagaimana semangat Hijrah ini semakin pudar dalam masyarakat kita. Kita sanggup mencela, mencemuh dan merendahkan sesuatu bangsa tanpa berfikir panjang. Kita juga berpecah-belah kerana fahaman politik yang berbeza. Kita juga melakukan penipuan, penyelewengan dan pembohongan untuk kepentingan sendiri. Kepentingan bersama yang disarankan oleh Hijrah juga ditelan oleh ketamakan dan kerakusan sehingga nasib masyarakat dilupakan. Kita ingin melihat gelombang reformasi di negara kita menjelma sebagai satu produk Hijrah.
Bersama-sama kita menghasilkan Hijrah dalam pendidikan, perkembangan sains dan teknologi, kemajuan ekonomi dan kemajuan sosial. Kita perlu Hijrah dalam sains penerokaan angkasa, sains nuklear, sains kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan sains robotik setanding negara-negara maju. Kita juga perlu Hijrah ke arah industri pembuatan kereta api, kapal terbang, dan industri berat yang lain.
Hijrah juga telah lama dilupakan dalam struktur antarabangsa. Semangat Hijrah seperti keamanan, kedamaian, dan perpaduan umat manusia semakin terpadam. Apa yang kita lihat pada hari ini adalah segala fikiran negatif yang boleh meruntuhkan umat manusia. Hilang perpaduan dalam kalangan negara-negara Islam.
Penulis asal: Dr. Nor Aishah Hanifa (Pensyarah)
Rujukan:
No comments:
Post a Comment