Friday 28 August 2015

Kupasan ‘Pondok : Benteng Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah’


Program Wacana Ilmu bertajuk ‘Pondok : Benteng Akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah’ anjuran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) semalam, berjaya dikupas dengan mendalam oleh
barisan tiga panel berpengetahuan luas.



Ketiga-tiga mereka yang dijemput menjadi panelis di dalam program wacana ini ialah, Pensyarah Pusat Pengajian Umum Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Shukri Ahmad, mantan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Mustapha Taib dan Pengasas merangkap Mudir Pusat Pengajian Pondok Bustanul Arifin Haji Ahmad Ansory Morshid.

Manakala Ketua Pengarah Operasi YPPM Haji Juhaidi Yean Abdullah pula sebagai moderator dalam program yang berlangsung selama hampir dua jam itu.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif YPPM Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Penyelaras YPPM Kedah Sobri Osman bersama Ahli Jawatankuasa YPPM Kedah, guru-guru pondok dan lebih 40 pelajar
pondok daripada seluruh negeri Kedah.


Program yang diadakan di ibupejabat YPPM di Bukit Persekutuan Kuala Lumpur ini bermula tepat jam 3.30 petang itu dilihat mampu menjadi platform kepada wacana ilmu akan datang dengan tajuk yang berbeza dan lebih mencabar.

Seorang yang berpengalaman dalam menjalankan kajian dan penyelidikan, Prof Madya Dr Shukri Ahmad yang ketika itu mengenakan baju berwarna hijau diminta oleh moderator untuk memperjelaskan mengenai sejarah institusi pengajian pondok dan penyebaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ).

Kata Shukri, golongan ASWJ ini adalah golongan yang mengikut ajaran Rasulullah S.A.W dan para sahabat – amalan dan akhlak yang baik. Sebahagian besar ulama berpendapatan bahawa
ASWJ mengikut aliran yang diasaskan oleh Imam Abu Hassan Al-Asy’ari.


Jelas beliau, sebelum ini pengajian Islam hanya dijalankan di rumah-rumah dalam lingkungan yang kecil. Sekitar tahun 1600 baharulah pengajian Islam masuk ke dalam masyarakat dengan kaedah sistem pondok. Termasuk di nusantara, mereka menggunakan sistem yang sama, hanya berbeza namanya sahaja.

Selain itu, penerapan yang harmoni mula meresap ke dalam masyarakat Melayu dalam negara menjadikan akidah umat Islam bertambah indah bersandarkan kepada mazhab Syafie.

Apa yang diasuh di dalam pondok-pondok menjadi sangat cantik apabila mereka berpegang pada akhlak iaitu meletakkan adab pada paksi yang sangat tinggi. Sekaligus menjadikan dunia berada dalam suasana harmoni dan tidak bergolak.

Dari kiri ; moderator Juhaidi Yean Abdullah, panelis Prof Madya Dr Shukri Ahmad, Datuk Mustapha Taib dan Ahmad Ansory Morshid.

Sementara itu, menurut panelis kedua Mustapha Taib pula, soal perpaduan dikalangan umat Islam juga menjadi fokus utama terhadap benteng serta kekuatan akidah ASWJ. Kekuatan akidah tidak mampu didirikan sekiranya Islam terus berpecah belah. Sabda Rasulullah S.A.W mengenai perpecahan umat Islam kepada 73 kelompok perlu diambil sebagai penekanan.

Dalam masa sama beliau turut menyentuh mengenai kefahaman ‘ulul amri’ yang perlu diterapkan dengan lebih meluas ke dalam masyarakat.


Mengambil contoh konflik agama yang sering berlaku di negara-negara luar, Mustapha mengingatkan bahawa betapa pentingnya masyarakat mempertahankan pemimpin serta pemerintahan Islam. Tambahnya, umat Islam dengan sewenang-wenangnya dinafikan haknya ketika mereka berada dibawah pimpinan atau pemerintahan negara bukan Islam.

Mengambil tempat selaku panelis ketiga, Haji Ahmad Ansory Morshid sempat berkongsi pengalaman beliau ketika membina pondok pada peringkat permulaannya sehingga pernah diberi gelaran sebagai orang yang tidak siuman atau gila.

Berpengalaman selama 11 tahun di dalam pengajian pondok, beliau memberitahu bahawa nama pondok itu sendirinya digambarkan negatif secara luarannya semata-mata. Namun pengajian ilmu di dalam institusi ini menjadi senjata kepada kekuatan akidah umat Islam.

Selain itu beliau turut menyentuh soal lambakan fahaman pada akhir zaman dan keruntuhan Islam yang disebabkan oleh golongan alim. Dalam masa sama beliau menegaskan bahawa sesuatu ajaran ilmu itu perlulah bersesuaian dengan masyarakat dalam suasana yang harmoni. 4/6/2015

Oleh : Alif Mustapha

No comments:

Post a Comment