Thursday, 5 November 2015
Aliran agama terus mendapat sambutan menggalakkan
Tatkala sibuk mengejar ilmu duniawi, pegangan agama turut disematkan pada setiap anak-anak untuk dijadikan benteng kepada cabaran-cabaran mendatang.
Begitu ramai dikalangan kita yang berpusu-pusu mencari tempat-tempat pengajian aliran agama untuk dihuni anak-anak mereka. Ini merupakan satu petanda yang baik untuk pembangunan ummah seterusnya melahirkan masyarakat yang arif tentang selok belok agama. Setidak-tidaknya, asas agama sudah terpaku ke dalam jiwa pelapis-pelapis negara ini.
Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) sendiri sebagai pengantara diantara masyarakat, institusi pondok dan agensi-agensi berwajib mendapati bahawa kesedaran orang ramai terhadap pentingnya pengajian agama kini semakin meningkat.
Pelbagai pertanyaan mengenai pondok-pondok yang terdapat di Malaysia merupakan suatu fenomena yang amat menggembirakan.
Menyentuh tentang perkara sama, perkembangan positif ini turut dirasai secara ketara di negeri Melaka.
Menurut Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Melaka, Ahmad Hamizi Abu Hassan, seramai 183 orang calon telah menduduki ujian khas bagi melayakkan diri ke sekolah aliran agama bermula tahun hadapan. Jumlah itu memperlihatkan berlakunya peningkatan penyertaan pelajar apabila angka yang direkodkan pada tahun lepas adalah seramai 165 calon.
Calon-calon yang terdiri daripada pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu menzahirkan cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke sekolah menengah aliran agama sesi 2016.
"Mereka adalah calon-calon negeri Melaka yang tidak bersekolah agama petang di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), calon dari sekolah swasta dan juga calon dari luar negeri Melaka," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Hamizi memberitahu bahawa pihaknya mendapati ada diantara calon yang datang dari Pantai Timur dan utara Semenanjung. Ia sekaligus menunjukkan sekolah-sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Melaka menjadi pilihan masyarakat dari luar negeri Melaka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment