Tuesday, 3 November 2015
KAFA di peringkat menengah : Apa respon anda?
Bidang pendidikan sememangnya satu aspek yang amat penting, apatah lagi soal pendidikan Islam. Penekanan pendidikan atau pengajian Islam merupakan benteng utama kepada ketahanan rohani seseorang.
Paling utama adalah pendidikan melibatkan golongan muda dan remaja. Golongan ini seharusnya diberikan layanan khas bertujuan membantu mereka supaya tidak terjebak dengan gejala-gejala tidak sihat. Tambahan pula ketika mereka menyusuri zaman tanpa sempadan sekaligus berdepan dengan cabaran-cabaran baharu.
Mengenai modul pengajian Islam yang diterapkan ke dalam pembelajaran sekolah-sekolah dalam negara, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) misalnya berjaya mendidik pelajar berhubungkait ilmu-ilmu asas dalam Islam.
Namun keberkesanannya hanya dapat dilihat pada peringkat sekolah rendah sahaja. Ini kerana program sedemikian tidak dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah.
Justeru itu, cadangan melanjutkan KAFA ke peringkat sekolah menengah pernah disuarakan oleh Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin ketika beliau menjadi panel dalam program Wacana Eksekutif Sempena Sambutan Jubli Emas Masjid Negara sekitar pertengahan bulan lepas.
Beliau berpandangan bahawa KAFA sewajarnya perlu diteruskan ke peringkat sekolah menengah supaya asas agama Islam anak-anak menjadi bertambah kuat dan mantap. Tambahan pula subjek Pendidikan Islam yang dijalankan selama ini kelihatan masih belum mencukupi buat para pelajar khususnya golongan remaja.
Ternyata benar apa yang dikatakan oleh Taufiq Yap ini. Ia dapat dibuktikan dengan kewujudan kes-kes melibatkan akidah para remaja yang berada dalam keadaan cukup membimbangkan.
"Kehidupan remaja ketika ini amat mencabar. Sekiranya tersalah langkah dan tidak memiliki keimanan yang kuat, peratusan untuk terjerumus ke lembah negatif misalnya melahirkan anak luar nikah adalah sangat tinggi." ujar beliau.
Sebab itu kewujudan KAFA di peringkat menengah merupakan cadangan yang boleh dijadikan perhatian kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Penekanan Islam di setiap sekolah menengah sangat rendah sedangkan pada masa itulah remaja memerlukan pengetahuan Islam yang tinggi agar dapat membimbing mereka ke jalan yang lebih baik.
Apa pula respon anda sebagai pelajar, ibu bapa dan pendidik?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment