Tuesday 3 November 2015

Sumbangan diperlukan untuk aktif semula pengajian pondok


Pondok Tampin yang terletak di Jalan Padang Ragut, 73000 Tampin, Negeri Sembilan berhasrat membuka semula kelas pengajian di pondok mereka selepas ditangguhkan buat sementara waktu akibat daripada beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Ketika kunjungan hormat pihak pentadbir Pondok Tampin ke Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di Seri Pondok, Bangsar baru-baru ini, Mudir Tn Guru Sheikh Abd. Raof Nurin memberitahu hasratnya membuka 20 tempat buat pelajar-pelajar baharu.


"10 orang pelajar lelaki dan 10 orang pelajar perempuan. Pada peringkat awal ini kami mengutamakan para pelajar dikalangan lepasan sekolah rendah," kata Abd. Raof yang hadir bersama dua orang pegawainya.

Sebagaimana modul pembelajaran terdahulu, kelas baharu ini masih mengekalkan pengajian membabitkan kitab turath, kitab-kitab lama, hafazan, bahasa Arab dan pengajian akademik.

Dalam masa sama, Abd Raof turut melahirkan hasratnya untuk memanggil semula bekas-bekas pelajar Pondok Tampin untuk dijadikan sebagai tenaga pengajar bagi sesi baharu kelak.

"Kami sudah kenalpasti beberapa orang guru yang layak. Dua orang guru lelaki dan tiga orang guru wanita," ujar beliau.

Bagi merealisasikan hasrat melahirkan pelapis-pelapis ilmuan Islam ini, orang ramai atau badan-badan korporat dialu-alukan untuk menyalurkan sumbangan bagi pembangunan di Pondok Tampin. Antara lain, sumbangan ini bertujuan menampung kos-kos operasi termasuk gaji tenaga pengajar secara konsisten.

Pelepasan cukai akan diberikan kepada mereka yang menyumbang melebihi RM5,000. Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi terus YPPM di talian 03-22016711 atau email yayasanpondokmalaysia@gmail.com

No comments:

Post a Comment