Monday, 23 November 2015
Mana lebih berat, betul ke bohong?
Betul ke bohong? Antara judul rancangan siaran televisyen tempatan. Menariknya, mana-mana peserta yang didapati berkata bohong akan dikenakan hukuman renjatan elektrik.
Dewasa ini soal betul atau benar dengan berita palsu sudah seakan-akan sama berat, sama imbang. Suatu ketika dahulu masyarakat cukup berhati-hati dalam percakapan hanya kerana takut kalau-kalau tersalah cakap iaitu berkata sesuatu yang tidak benar.
"Siapa cakap tipu kena masuk api neraka"
Amaran yang menjadikan kanak-kanak berasa cukup takut dan hanya memperkatakan sesuatu perkara yang benar sahaja.
Berbeza dengan zaman ini, benar atau bohong bukanlah tajuk penting atau popular untuk dibincangkan. Apatah lagi zaman dunia tanpa sempadan, berita yang tidak benar diangkat demi kepentingan peribadi si penyebar.
Tatkala sedang seronok, sedarkah kita sebagai umat Islam bahawa perkara-perkara yang benar itu membawa ganjaran syurga?
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a, Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud,
"Sesungguhnya benar membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa kepada syurga, dan sesungguhnya seorang yang benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai ahli yang benar."
Benar ini terbahagi kepada tiga iaitu benar hati dan iktikad; benar perbuatan; dan benar perkataan.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 23 bermaksud,
"Antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang bersikap benar, menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu mati syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun."
Justeru itu, apakah yang menyulitkan kita untuk sentiasa 'benar' dalam kehidupan seharian? Benar dalam percakapan, janji dan perbuatan membolehkan kita merungkai pelbagai kemelut kehidupan. Selain itu ia dapat menenangkan hati manusia - dapatlah kita hidup dalam suasana aman damai dan sentosa. Insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment