Friday, 6 November 2015

Peringatan buat peniaga Islam


Sebanyak 9 / 10 sumber rezeki adalah datang daripada sumber perniagaan. Namun berapa ramai dikalangan kita yang menjadikan perniagaan sebagai punca pendapatan? Setidak-tidaknya jadikan ia sebagai pendapatan sampingan? Ya, penyertaan masyarakat Islam dalam bidang perniagaan masih lagi kurang.

Belum lagi masuk angka peniaga muflis dan legasi perniagaan yang tidak diwarisi akibat kegagalan mendidik anak-anak dengan baik. Sementara sikap peniaga itu sendiri menjadi faktor kepada kejatuhan sesebuah perniagaan yang dijalankan.

Sikap berjimat-cermat dan mengukur baju di badan sendiri sewajarnya diberi lebih perhatian dalam perniagaan. Baharu untung RM10 ribu, sudah bermewah-mewah seolah-olah untung berjuta.


Demikian antara situasi yang sering berlaku dalam masyarakat. Menjadikan angka penglibatan peniaga Islam selalu berubah-ubah. Bahkan kadar penurunan masyarakat Islam dalam penglibatan di bidang perniagaan berada pada tahap yang amat menyedihkan.

Justeru itu, pelapis-pelapis peniaga atau usahawan yang berjaya perlu dilahirkan.

24 jam sehari, apakah kita banyak menghabiskan masa tersebut dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah? Atau sememangnya kita selesa dengan stigma 'Melayu pemalas'?

Hari ini, banyak tapak-tapak jualan dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk berniaga. Jika dahulu kita hanya terdedah kepada aktiviti perniagaan pasar malam, burger, pisang goreng dan seumpamanya. Dewasa ini kita dapat pula melihat bazar larut malam dan jualan berkereta atau 'Car Booth Sale'.

Berbagai-bagai idea baharu ini sepatutnya disambut dengan positif. Bukanlah bermaksud terlalu mengejar saham dunia semata-mata. Tidak bermakna apabila menjalankan perniagaan sebegini menyebabkan kita berada jauh dengan Allah. Kewujudan masjid dan surau dikebanyakkan lokasi perniagaan juga berupaya mengelakkan kita daripada meninggalkan kewajipan-Nya.

Lebih mengagumkan, ada saja peniaga yang berniaga sambil membaca Al-Quran. Ia bukanlah satu masalah buat kita sebagai peniaga muslim. Sambil melayan pelanggan pun boleh berzikir dalam hati.

Apabila mula saja melangkah ke alam perniagaan, para peniaga yang ingin kekal lama perlu ingat ini :

Peniaga yang jujur mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah pada hari kiamat. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Peniaga yang benar dan amanah (akan ditempatkan) bersama dengan para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Riwayat at-Tirmidzi).

No comments:

Post a Comment